Friday, August 14, 2009

Perginya Tak Kembali


Tanggal 13 Ogos 2009 bersamaan 22 Syaaban 1430H lebih kurang jam 11 pagi, saya dikejutkan dengan berita kematian Ustaz Asri Rabbani. Bagaikan tidak percaya sehinggalah saya menefon semula salah seorang anggota Rabbani untuk mengesahkannya. Kali terakhir saya bertemu Ustaz Asri pada hari selasa 11 Ogos yang lalu di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya, beliau tidak seramah selalu. Saya pun tak sempat untuk berbual dengannya.

Ketika sampai di hotel, saya hanya sempat melambaikan tangan kepadanya kerana berkejar untuk solat zohor sebelum turut serta di dalam majlis beliau. Sebelum pulang pun saya tidak bertegur sapa dengan ustaz. Dalam hati saya berkata, tak apa lah, lain kali jer sembang dengan ustaz, sebab saya tengok ustaz baru nak mula makan. Tapi, rupa-rupanya itulah kali terakhir saya berjumpa ustaz sebelum ajal datang menjemput.

Ketika saya sampai di Hospital Pantai, saya dan rakan-rakan terus berkejar ke wad kecemasan. Bagaikan tidak percaya saya melihat jenazah ustaz di sana. Wajah ustaz tenang. Saya sempat membaca surah Yaasin untuk ustaz di wad tersebut. Alhamdulillah, saya sekali lagi sempat menatap wajahnya yang terakhir di rumah ibunya di Kg. Bukit Lanchong. Wajahnya seperti sedang tidur dalam keadaan tenang.

Perginya Ustaz Asri tiada pengganti. Beliau seorang yang tidak berkira. Kumpulan Rabbani merupakan duta Rakan Asuh-Majalah Asuh. Setiap kali saya menjemput kumpulan Rabbani untuk terlibat di dalam program saya, beliau tidak pernah menolak jika tidak ada program lain.

Kerjasama yang diberikan kepada saya dan rakan-rakan tidak akan dilupakan. Kali terakhir saya mengadakan kerjasama dengan beliau adalah di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC pada bulan April yang lalu. Beliau begitu gembira melancarkan semula Kelab Rakan Asuh-Rabbani. Saya tidak sempat ke konsert Antara Dunia pada 1 Ogos yang lalu kerana ada program di Alor Setar, Kedah.


Semoga roh Ustaz Asri Ibrahim dicucuri rahmat. Amin. Al-Fatihah

No comments:

Post a Comment